
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Indonesia Cakra Khan bakal menghiburkan peminatnya di Malaysia dan Singapura menerusi konsert solo Divine Concert-Cakra Khan yang juga bersempena dengan kelahiran album keduanya Divine tahun lepas.
Dalam satu kenyataan di sini, Pengarah Urusan Shiraz Projects Shirazdeen Karim berkata, konsert di Malaysia akan berlangsung di Dewan Plenary, KLCC pada 2 Ogos, menyusuli persembahan di Singapura yang dijadualkan pada 18 Julai di The Star Theatre.
“Selepas 11 tahun, Cakra Khan akhirnya muncul dengan album kedua beliau. Konsert ini bukan sekadar meraikan karya terbaharunya tetapi juga sebagai pentas untuk peminat menikmati vokal uniknya secara langsung,” katanya.
Sementara itu, Cakra berkata konsert tersebut merupakan penghargaan beliau atas sokongan peminat sepanjang perjalanan seninya.
Tiket untuk Divine Concert – Cakra Khan dijual bermula 10.00 pagi, hari ini.
Bagi konsert di Kuala Lumpur, harga tiket ditetapkan pada RM1,295 (Meet & Greet), RM795 (Diamond), RM695 (Platinum), RM455 (Gold), RM255 (Silver) dan RM225 (Bronze).
Untuk konsert di Singapura pula harga tiket ialah SG$248 (Meet & Greet), SG$168 (Diamond), SG$148 (Platinum) dan SG$128 (Gold). – Bernama