BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing menggesa penduduk untuk memberikan kerjasama dalam usaha pembersihan pasca banjir yang sedang giat dilaksanakan oleh pasukan sukarelawan.
Menurutnya, kerja pembersihan bukanlah tugas mudah, namun sukarelawan daripada Parti Demokratik Progresif (PDP), Persatuan Persahabatan Zong Ho, dan kumpulan lain tetap berusaha membersihkan kawasan terjejas serta mengangkut sampah ke tapak pelupusan.
“Bagaimanapun, saya menyeru semua pihak untuk meletakkan sisa di tempat pengumpulan atau tong sampah yang ditetapkan secara teratur.
“Ini akan mengelakkan sukarelawan terpaksa membersihkan kawasan yang sama berulang kali,” katanya dalam kenyataan menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini.
Beliau memberitahu, pasukan sukarelawan bukan sahaja menyumbang tenaga tetapi turut menyediakan sendiri peralatan seperti lori dan jengkaut untuk memastikan operasi berjalan lancar.
Pada masa sama, Tiong turut mengingatkan bahawa kenderaan berat tidak dapat memasuki sesetengah kawasan perumahan, justeru penduduk perlu memastikan sampah dikumpulkan di lokasi yang sesuai.
“Saya menyeru agar semua penduduk meletakkan sampah di tempat pengumpulan yang ditetapkan bagi memudahkan kerja-kerja sukarelawan,” tambahnya.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu juga memaklumkan bahawa usaha pembersihan sukarelawan akan berakhir dalam minggu ini, dan penduduk diminta membuang semua sisa dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Selepas minggu ini, pengurusan sisa akan dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), yang mungkin mengambil masa lebih lama.
“Diharapkan semua penduduk memahami dan mengambil tindakan segera,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih