


BINTULU: Masalah timbunan sisa banjir di beberapa kawasan di Bintulu masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Menurut Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk yang kecewa dengan keadaan tersebut.
“Walaupun banjir sudah reda, timbunan sisa banjir masih mencemari kawasan kediaman dan jalan raya,” katanya dalam kenyataan menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata, keadaan tersebut menyebabkan penduduk berhadapan dengan masalah bau busuk dan risiko kesihatan.
Bukan itu sahaja, Tiong turut mengingatkan bahawa pembersihan segera diperlukan bagi mengelakkan masalah yang lebih besar.
Untuk mempercepat pembersihan, beliau menghubungi pelbagai pihak termasuk Parti Demokratik Progresif (PDP), Persatuan Persahabatan Zong Ho, dan pertubuhan sukarela lain untuk turun padang membantu.
“Usaha pembersihan sedang dipergiat bagi mengatasi masalah ini dengan menggunakan lori, jengkaut, dan peralatan lain,” katanya.
Beliau meminta kerjasama penduduk agar meletakkan sampah di kawasan yang ditetapkan bagi memastikan pembersihan dapat dilaksanakan dengan efisien.