
SIBU: Seramai 125 anak asnaf di bahagian ini menerima bantuan beg dan kelengkapan sekolah sempena Program Bantuan ‘Back To School’ Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) 2025, hari ini.
Pada program yang berlangsung di Kompleks Islam Sarawak Sibu, TBS dengan kerjasama Yayasan Kepimpinan Al Bait (YKAB) turut memberikan perkhidmatan menggunting rambut secara percuma kepada 57 anak asnaf.
Menurut Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, Program Bantuan ‘Back To School’ TBS merupakan acara tahunan dan telah dibuat bermula di Limbang, Miri, Bintulu dan Mukah.
“Pada kali ini, kita membawa sedikit perubahan iaitu selain memberikan beg sekolah, kita juga telah membuat satu usaha bersama Yayasan Kepimpinan Al Bait di mana mereka memberi latihan kepada pemuda-pemuda untuk menggunting rambut.
“Mereka ini kemudian digunakan untuk menolong kita sebagai sukarelawan bagi menggunting rambut anak-anak yang hadir pada program,” katanya kepada pemberita selepas program itu, hari ini.
Katanya, program itu amat ringkas namun selain memberi beg sekolah kepada anak-anak asnaf dan keluarga susah, TBS mahu memberi semangat kepada mereka untuk pergi ke sekolah dengan beg baharu serta rambut yang kemas.
“Inilah tujuan utama kita, kita mahu mereka bersemangat untuk pergi ke sekolah dan belajar,” katanya.
Beliau memberitahu, program selepas ini akan dibuat di Sarikei pada Isnin ini, seterusnya di Sri Aman, Samarahan dan Kuching.
“Selain itu, TBS juga telah membelanjakan hampir RM280,000 bagi memberikan pek makanan kepada mangsa banjir di 54 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Sarawak,” kata beliau.
Turut hadir, Pengurus YKAB Abdul Hafiz Zainalabidin, Ketua Bahagian TBS Sibu Siti Azliyani Jasini, dan Pegawai Khas Wilayah TBS Ali Mat.
Oleh Akun Giman