
MARUDI: Sebanyak 29 kampung, dan dua sekolah rendah di daerah Marudi masih dinaiki air sehingga kelmarin.
Jumlah kawasan dinaiki air ialah 31 kawasan dengan jumlah mangsa yang terjejas seramai 2,780 orang manakala jumlah bantuan pek makanan kering yang diagihkan sebanyak 2,576 pek.
Pegawai Pertahanan Awam daerah Marudi Lt. (PA) Mirwan Shah Masri berkata, sebanyak 37 kampung, dua klinik kesihatan, dan 10 sekolah rendah di daerah Beluru menerima nasib yang sama.
Katanya, jumlah kawasan yang dinaiki air di daerah Beluru ialah sebanyak 49 kawasan dengan jumlah mangsa banjir terlibat 4,544, dan bantuan bekalan makanan sebanyak 6,403 pek.
Dalam pada itu, anggota Pertahanan Awam Marudi giat menjalankan pemantauan di kawasan yang berisiko banjir hari ini iaitu SK Benawa dengan ketinggian air sedalam satu kaki dan dua inci dan SK Benawa Marudi (1 kaki 4 inci ).
Kawasan lain yang terus dipantau ialah Kampung Padang Kerbau Marudi (0.18 meter), pekan Marudi (0.14 metar ), Kampung Cina Marudi ( 0.08 meter ), Kampung Ridan Marudi (0.24 meter ), Kampung Dagang Marudi ( 0.13 meter ), Kampung Narum Marudi ( 0.10 meter ) dan jalan Sg Aarng, Marudi ( 0.27 meter).