
Terkini: Mangsa banjir di Bintulu kembali meningkat
KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak terus meningkat dengan 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi di beberapa bahagian.
Setakat 12.00 tengah malam tadi, jumlah mangsa terkini dilaporkan seramai 4,540 orang daripada 1,462 keluarga, meningkat berbanding 4,341 mangsa yang direkodkan pada 8.00 malam tadi.
Bahagian yang mencatatkan peningkatan ketara ialah Bintulu, yang kini menempatkan 1,725 mangsa berbanding 1,612 sebelum ini.
Miri turut mencatatkan peningkatan daripada 917 kepada 961 mangsa, manakala Mukah merekodkan peningkatan daripada 575 kepada 614 mangsa.
Sibu juga mengalami sedikit pertambahan daripada 1,173 kepada 1,176 mangsa.
Secara keseluruhan, Bintulu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan lima PPS aktif, diikuti oleh Sibu dengan enam PPS dan Miri dengan tujuh PPS.
Mukah pula mempunyai empat PPS aktif yang masih beroperasi, sementara Sarikei dan Samarahan masing-masing mempunyai satu PPS yang menempatkan 13 dan 51 mangsa.
Sementara itu, beberapa bahagian seperti Kuching, Serian, Betong, dan Kapit telah menutup semua PPS mereka, menunjukkan keadaan banjir semakin pulih di kawasan tersebut.
Oleh Amanda L.