
LIMBANG: Masyarakat Penan tidak akan dipinggirkan dalam arus pembangunan, dan usaha sedang terus dilaksana menghubungkan mereka dengan masyarakat lain di bandar berdekatan.
Sehubungan itu, dua jambatan gantung bernilai RM1.1 juta telah dibina dalam memastikan kaum itu menikmati kemudahan perhubungan lebih selesa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, berkata hasrat untuk mendapatkan dua kemudahan jambatan gantung itu diutarakan kaum Penan sejak beberapa tahun lalu.
“Dua jambatan gantung itu membabitkan Jambatan Gantung Kampung Bahagia, Long Napir dan Sekolah Kebangsaan (SK) Long Napir, Ulu Limbang.
“Projek ini membantu memudahkan mobiliti penduduk kampung dan pelajar dalam kalangan komuniti Kelabit, Penan serta warga sekolah Long Napir,” katanya dalam Majlis Perasmian Jambatan Gantung di SK Long Napir dan Kampung Bahagia di sini, kelmarin.
Turut sama, isterinya, Datin Mary Sindang, wakil Residen Bahagian Limbang Jaenly Marten dan wakil Pegawai Daerah Limbang Danny David.
Katanya lagi, projek jambatan gantung di Kampung Bahagia, Long Napir yang bernilai RM600,000, dan jambatan gantung di SK Long Napir, Hulu Limbang bernilai RM500,000, dibangunkan di bawah dana Lembaga Kumpulan Wang Konsesi Hutan.
Menurutnya, kemudahan tersebut membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan nasib penduduk minoriti di Sarawak khususnya yang mendiami kawasan pedalaman.
Katanya, kemudahan ini begitu signifikan kepada kaum Penan di penempatan itu untuk menikmati kemudahan perhubungan yang lebih selesa dan menjadi nadi penting dalam kehidupan seharian mereka.
Jelasnya, selain itu, impian penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan lebih baik akan tercapai dengan pembinaan klinik kesihatan di Long Napir tidak lama lagi.
Kata Paulus lagi projek pembinaan dewan serbaguna di Kampung Bahagia akan bermula pada tahun depan secara berperingkat.
Pada majlis ini, Paulus meluluskan geran berjumlah RM25,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Long Napir dan JKKK Kampung Bahagia dan masing-masing menerima RM10,000 serta RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Long Napir.
Oleh Adeng Edrus