ASAJAYA: Kerajaan Sarawak dalam proses mempertimbangkan untuk membina pusat pemindahan kekal bagi menggantikan penggunaan sekolah dan dewan awam sebagai tempat perlindungan sementara untuk mangsa bencana.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bagi tujuan itu pihaknya sedang menilai lokasi sesuai di seluruh negeri.
“Tumpuan adalah kawasan yang kerap dilanda banjir kerana mungkin akan ada gelombang kedua banjir jadi kami bersedia bermula sejak November lalu lagi hingga Mac 2025” katanya.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan dan tinjauan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sampun Tebun, Asajaya hari ini.
Beliau kemudian meneruskan lawatan keduanya di PPS SK Haji Kelali, Semera, Asajaya bagi meninjau situasi di kawasan terbabit.
Uggah turut meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menilai dan membaik pulih jalan yang rosak disebabkan banjir yang melanda baru-baru ini.
Katanya, ini kerana kesan banjir mendatangkan impak kepada keadaan jalan raya.
Hadir mengiringi lawatan Uggah adalah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo.
Oleh Noor Ikmal