SIBU: Banjir yang melanda beberapa jalan di bandar ini adalah disebabkan hujan berterusan sejak awal pagi dan bukannya kenaikan paras sungai.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting berkata, lokasi terbabit ialah Jalan Hua Kiew, Jalan Merlin dan Jalan Berlian, dinaiki air setinggi dua hingga tiga inci.
Menurutnya, aliran trafik di kawasan tersebut masih dapat bergerak dengan lancar walaupun dinaiki air.
“Saya ingin menegaskan bahawa banjir kecil ini bukan disebabkan oleh kenaikan paras sungai, tetapi lebih kepada hujan yang berterusan. Keadaan ini berlaku disebabkan aliran air hujan yang tidak dapat disalirkan dengan cepat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya sempena sambutan Tahun Baharu Cina, hari ini.
Katanya, pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan orang ramai.
“Setakat ini, tiada laporan mengenai banjir besar, saya mengingatkan orang ramai agar terus berhati-hati dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN