SARIBAS: Projek jalan baharu yang menghubungkan Kampung Tuie ke Suri sepanjang sembilan kilometer (km) kini telah siap sepenuhnya, bakal memberikan manfaat besar kepada penduduk setempat.
Jalan yang telah dibina dengan kos RM35 juta yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 2018 sebagai projek rakyat untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata beliau telah mengumumkan peruntukan tambahan bagi kerja-kerja baik pulih jalan sedia ada di Kampung Tuie.
Kerja-kerja ini katanya lagi bertujuan untuk menghubungkan jalan baharu yang telah siap dibina dengan jalan-jalan utama di kawasan berkenaan.
“Projek ini dijangka dapat menyelesaikan masalah akses yang sebelum ini menjadi cabaran besar bagi penduduk kawasan tersebut.
“Dengan siapnya jalan baharu ini, kita dapat memendekkan jarak perjalanan penduduk dari Kampung Medang, Kampung Supa, Kampung Serabang, dan Kampung Tuie ke daerah kecil Debak.
“Ini tentunya akan memudahkan pergerakan penduduk, mempersingkat masa perjalanan, serta memberi kemudahan dalam urusan harian mereka,” katanya.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas menegaskan bahawa kemudahan jalan yang lebih baik ini dijangka akan merancakkan lagi ekonomi setempat, terutamanya melalui peningkatan akses kepada pasaran untuk produk tempatan.
“Dengan jalan yang lebih baik dan lebih cepat, produk-produk tempatan seperti hasil pertanian, makanan dan barang keperluan lain akan lebih mudah dijual ke kawasan yang lebih luas.
“Ini sekali gus memberi peluang kepada penduduk di sini untuk meningkatkan pendapatan dan memperkasa ekonomi mereka,” tambahnya.
Projek jalan yang telah siap dibina ini bukan sahaja memberikan manfaat dalam segi mobiliti dan akses, tetapi juga menjanjikan manfaat jangka panjang untuk pembangunan kawasan luar bandar di sekitar daerah Saribas.
Selain itu, jalan yang lebih baik akan memudahkan penduduk di kampung-kampung terlibat untuk berurusan dengan pusat perkhidmatan kerajaan, hospital, sekolah, serta pasaran yang lebih besar.
Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier terus berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, terutama di kawasan luar bandar, melalui projek-projek pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
Dengan kemudahan jalan yang telah siap ini, ia bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup, tetapi turut memberi harapan dan peluang baru untuk kemajuan ekonomi di kawasan tersebut.
Dengan peruntukan tambahan untuk baikpulih jalan sedia ada, Razi menegaskan bahawa kerajaan akan terus memastikan bahawa kemudahan dan pembangunan di kawasan Saribas dapat diteruskan dengan lebih mampan dan memberi manfaat berterusan kepada rakyat.
Oleh Adi Saparman