KUCHING: Jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) yang terjejas akibat banjir meningkat berikutan hujan berterusan.
Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak, sebanyak 15 PPS telah dibuka di lima bahagian di seluruh negeri ang melibatkan 1,097 mangsa.
“PPS di Bahagian Serian mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 509 orang setakat 8.30 pagi tadi.
“Setakat ini, sebanyak lapan PPS dibuka di Bahagian Serian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, dua PPS yang dibuka di Bahagian Bintulu menempatkan 143 mangsa dan di Bahagian Samarahan 73 mangsa.
Selain itu, seramai 162 mangsa ditempatkan di dua PPS di Bahagian Kuching dan enam mangsa di PPS Bahagian Miri.