LONDON: Rembatan lewat Lisandro Martinez yang terkena pemain lawan membolehkan Manchester United meraih tiga mata berharga apabila menang 1-0 di Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Memburu kemenangan keempat liga sejak jurulatih Ruben Amorim menggantikan Erik ten Hag pada November, United kurang mencipta peluang pada babak pertama di Craven Cottage.
Pelawat semakin baik selepas rehat tetapi memerlukan bantuan ‘tuah’ menerusi rembatan jarak jauh pertahanan Argentina Martinez pada minit ke-78 yang terkena pemain tuan rumah Sasa Lukic sebelum menerjah gawang yang dikawal Bernd Leno.
Kemenangan itu melonjakkan skuad United ke tangga 12 dalam carta liga, empat mata di belakang Fulham yang menduduki tangga ke-10.
“Saya fikir saya bernasib baik tetapi ia kemenangan penting,” kata Martinez kepada TNT Sports. “Saya gembira dengan cara kami menang perlawanan tidak kiralah siapa yang jaring gol. Paling penting kami dapat tiga mata berharga.
“Ia amat bermakna. Bukan sahaja kepada penyokong tetapi kepada kami yang banyak menderita. Ia kemenangan sukar. Tekanan amat tinggi di kelab tetapi kami berada di sini. Walaupun perlawanan seperti hari ini, kami perlu menang dan merendah diri selepas mencapai matlamat.”
Amorim berdepan situasi sukar di England setakat ini. Sebelum berdepan Fulham, United tewas enam daripada sembilan aksi liga.
Di sebalik prestasi hambar pelawat, tuan rumah gagal merebut peluang dengan kekeringan idea pada babak pertama.
Emile Smith Rowe berpeluang menjaringkan gol pada awal babak pertama namun rembatannya tersasar manakala pemain gantian Rodrigo Muniz melepaskan dua peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan di penghujung perlawanan.
Lapan kemenangan berturut-turut dalam saingan liga di Fulham bermakna United kini menang empat daripada lima aksi terakhir dalam semua kejohanan.
“Satu percubaan tepat daripada Man Utd, rembatan membias yang bernasib baik,” kata jurulatih Fulham Marco Silva.
“Kami lebih mendominasi perlawanan dan mempunyai dua atau tiga peluang terbaik menjaringkan gol. Namun saya tak nampak ancaman benar-benar bahaya daripada Man Utd.”