PETRA JAYA: Seramai 5,000 pengunjung dijangka memeriahkan Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri Sarawak pada 29 Januari 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Sambutan kali ini diharapkan bukan sahaja dapat menarik ramai pengunjung, tetapi juga menjadi peluang untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menjelaskan bahawa sambutan kali ini diadakan lebih awal untuk memberi ruang kepada mereka yang sibuk dengan persiapan Tahun Baharu Cina.
“Acara akan bermula pada 8.45 pagi dan dijadualkan berakhir pada 2.00 petang.
“Kami mengingatkan pengunjung untuk datang lebih awal dan pastikan kehadiran sebelum 2.00 petang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Selain itu, Dr Sim mengesahkan bahawa Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isterinya, serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dijangka hadir untuk memeriahkan majlis tersebut.
Oleh Amanda L.