KABONG: Ibu bapa tidak perlu takut atau trauma untuk menghantar anak-anak ke Tadika atau taska sebaliknya institusi pendidikan awal kanak-kanak itu telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, jika terdapat ibu bapa yang masih kurang yakin untuk menghantar anak ke taska dan tadika, mereka dibenarkan melawat untuk memeriksa tahap kebersihan dan keselamatan.
“Apabila ibu bapa sendiri melihat prosedur kanak-kanak masuk dari pintu pagar ke dalam kelas, ia akan menimbulkan kesedaran dan keyakinan mereka terhadap SOP taska dan tadika,” katanya semasa melakukan lawatan serta Majlis Randau bersama pengurusan Tabika Kemas Bukit Pantar dekat sini semalam.
Chee Kadir berkata, adalah penting bagi ibu bapa melihat dulu dan berbincang dengan pengurusan tadika dan taska tentang tatacara pengendalian anak-anak di dalam kelas.
“Kalau dah puas hati dan yakin dengan pematuhan SOP, mereka boleh kembali menghantar semula anak-anak ke institusi berkenaan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain Chee Kadir berkata, Tabika Kemas memainkan peranan yang penting mendidik anak-anak khususnya mereka di kawasan luar bandar.
Justeru, tenaga pengajar tabika harus bijak serta sentiasa memperbaharui kemahiran mereka agar sejajar dengan arus perdana pembangunan.
“Anggaplah pekerjaan sebagai guru tabika ini sebagai perjuangan dan tanggungjawab kita melahirkan ramai anak bertaraf modal insan pada masa akan datang.
“Jangan jadikan serba kekurangan di sekeliling kita sebagai satu alasan kenapa kita tidak dapat memberi yang terbaik dalam perkhidmatan,” jelasnya.
Oleh Adi Safarman