KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya memberkas sejumlah 26 orang pendatang haram tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki negeri ini melalui jalan tikus di sempadan Sarawak-Kalimatan pada Khamis dan Jumaat lepas.
Komander PGA Bridged Sarawak SAC Mancha Ata berkata, kesemua mereka ditangkap dalam tiga operasi Op Benteng Covid-19 di Daerah Serian dan ditahan di bawah Akta Imigresen 1953 dan 1969 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
“Kes pertama adalah pada 25 Jun dengan pasukan yang bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu telah menahan seorang lelaki warganegara Indonesia, 31, yang menyusup masuk secara berjalan kaki melalui jalan tikus ke Malaysia di kawasan tanah perkuburan Katolik, Kampung Entubuh, Tebedu, Serian dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati subjek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan dan siasatan selanjutnya.” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Mengenai tangkapan kedua, beliau berkata pasukannya telah menahan enam lelaki warganegara Indonesia yang menyusup masuk melalui jalan tikus dalam keadaan mencurigakan bertempat di kawasan berhampiran Kampung Tong Nibong, Serian.
“Pemeriksaan lanjut telah menemukan dua buah motosikal, dua batang anak kunci dan sebuah passport dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM5000.
“Manakala kes ketiga yang dijalankan pada 26 Jun, pasukan telah berjaya menahan 19 lelaki warganegara Indonesia yang menyusup masuk secara berjalan kaki melalui jalan tikus bertempat di sebuah ladang sawit di Daerah Serian.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua tangkapan warganegara indonesia tersebut tidak memiliki sebarang permit kerja atau dokumen perjalanan yang sah dan seterusnya diserahkan ke IPD Serian untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Tegasnya, pihak PGA Briged Sarawak akan terus menjalankan operasi ini secara agresif bagi mengesan tekong-tekong atau mereka yang bersubahat dan terlibat didalam aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan PATI di sempadan Sarawak – Kalimantan Indonesia.
“Tindakan yang agresif juga akan diambil dalam usaha untuk membanteras sebarang bentuk jenayah rentas sempadan dan menyekat kemasukan PATI dengan mengukuhkan kawalan sempadan negeri sarawak bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” ujarnya.
Oleh Zarina Abdullah