BINTULU: Tindakan pantas orang awam berjaya menyelamatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux daripada terbakar sepenuhnya di Lot Sungai Plan di sini, malam ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 8.37 malam.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
Namun, tindakan awal orang awam menggunakan alat pemadam api jenis debu kering berjaya mengawal keadaan sebelum ketibaan pihak bomba.
“Kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang mengeluarkan asap di bahagian enjin.
“Anggota bomba bertindak mencabut wayar bateri kenderaan bagi tujuan keselamatan,” katanya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.