KUCHING: Sambutan Tahun Baharu Cina memberi satu kesempatan untuk merenung tahun lalu dan belajar daripada pengalaman serta menetapkan impian untuk masa depan, kata Dato Wee Hong Seng.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) itu berkata, festival Tahun Baharu Cina juga menandakan menandakan permulaan perayaan yang menggembirakan dalam budaya Cina dengan berkumpulnya semua ahli keluarga bagi berkongsi harapan baharu.
”Ketika kita melangkah ke 2025, kita menerima semangat pembaharuan, pertumbuhan, dan perpaduan.
”Tahun ini, kita menyambut Tahun Ular Kayu (Year of the Wood Snake). Ular ialah simbol kebijaksanaan, transformasi dan ketangkasan yang mengingatkan kita tentang peluang yang tidak berkesudahan untuk pertumbuhan yang ada di hadapan.
“Justeru, ia adalah masa untuk pembaharuan yang lebih baik dan untuk menjemput nasib baik ke dalam hidup kita,” katanya ketika berucap merasmikan bazar Tahun Baharu Cina di pasar raya Boulevard di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Wee juga mengingatkan kepentingan untuk menghargai masa berkumpul bersama keluarga dan terus menghormati ikatan sesama keluarga.
Katanya, ia merupakan peringatan bahawa kita tidak pernah benar-benar bersendirian selagi menghargai satu sama lain, berkongsi kegembiraan dan menyokong satu sama lain ketika menghadapi cabaran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Boulevard Shopping Mall Kuching, Cynthia Chia berkata, bazar yang mula dibuka kepada orang ramai malam tadi hingga 26 Januari ini melibatkan 17 gerai jualan makanan, pakaian, aksesori dan sebagainya.
Oleh Rynna Sha’erra