BINTANGOR: Seramai 40 warga Tadika Perpaduan Taman Bintang telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor.
Ketua BBP Bintangor Mahmudin Narudin berkata, lawatan tersebut bermula 2.30 petang hingga 4.30 petang, baru-baru ini.
“Seramai 20 orang kanak-kanak tadika dan 20 orang guru pengiring termasuk ibu bapa menyertai lawatan sambil belajar ini.
“Pelbagai pengisian aktiviti dijalankan oleh pihak kami sepanjang lawatan,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, antara pengisian aktiviti termasuklah taklimat ringkas berkaitan kesedaran keselamatan kebakaran dan pencegahan kebakaran di premis seperti sekolah, pusat asuhan dan pusat didikan.
“Selain itu, turut dijalankan adalah latihan “Berhenti, Rebah dan Guling”, demonstrasi menggunakan salur bantu mula, latihan merangkak tatacara menyelamatkan diri dan latihan tatacara pengendalian kenakaran dapur memasak khusus kepada guru dan ibu bapa yang hadir.
“Para peserta juga berpeluang menaiki jentera bomba dan menyaksikan pameran jentera.
“Alhamdulillah, lawatan sambil belajar ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Oleh Earl Anek