LONDON: Pep Guardiola menyifatkan kontrak baharu Erling Haaland selama sembilan tahun setengah di Manchester City sebagai ‘luar biasa’ buat juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Kontrak semasa penyerang berusia 24 tahun itu bakal tamat pada Jun 2027 namun dia kini komited untuk meneruskan masa depannya bersama kelab untuk tempoh sedekad akan datang.
Pemain dari Norway itu mencetuskan impak diinginkan selepas menyertai City dari Borussia Dortmund pada 2022 dengan jumlah jaringan keseluruhannya bersama kelab setakat ini adalah 111 gol daripada 126 perlawanan.
Sebaik sahaja City mengumumkan perkara berkenaan, Guardiola berkata, tempoh kontrak itu menunjukkan keyakinan Haaland terhadap masa depan kelab berkenaan.
“Ia satu berita yang luar biasa buat kita semua dan juga kelab,” katanya.
“Apabila seorang pemain memutuskan untuk menandatangani kontrak seperti ini, tidak pernah berlaku sebelum ini, ia kerana dia mahu menunjukkan keinginannya untuk berada di sini.”
Guardiola berkata, Haaland mampu menjadi lebih baik.
“Kontrak itu sendiri tidak akan menjadikan dirinya bertambah baik,” katanya. “Ia adalah dirinya, yang jika dia mahu sudah tentu boleh bertambah baik. Kita semua boleh bertambah baik.”
Pengendali City itu turut diajukan soalan mengenai kenapa Haaland bersetuju untuk mengikat kontrak dengan tempoh yang panjang.
“Saya fikir apa yang berlaku kerana dia mencintai kelab, orang di sekelilingnya, dia menyukai Liga Perdana, dia suka berada di sini bersama isterinya dan kini ayahnya,” kata Guardiola.
“Saya fikir dia membayangkan yang tidak ada tempat lebih baik ketika ini dalam tempoh 10 tahun akan datang. Sebab itu dia dan keluarganya memutuskan untuk mengambil langkah ini.”
City pada ketika ini berada di kedudukan keenam liga, 12 mata di belakang pendahulu Liverpool dan tampak semakin samar untuk meraih gelaran kelima berturut-turut.
Walaupun pasukan sedang dilanda ‘badai’, Haaland setakat ini sudah meledak 16 gol dalam kancah Liga Perdana musim ini. – AFP