KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Sarawak dengan kerjasama Persatuan Graduan Bidayuh (BGA) baru-baru ini menganjurkan program khidmat komuniti di Kampung Batu Bedang dan Gua Silabur, bertujuan mengeratkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat.
Bertemakan Nyak Boh Taruh (3) Bees, Bigumpul Bisamah Bisindi Ngan BGA atau Mari Kita Bersatu, program ini berjaya menghimpunkan kira-kira 400 peserta dari Kampung Batu Bedang, Kampung Batu Mawang, Kampung Batu Lin, Kampung Pulau Pranuk, dan Kampung Mayang Kawan.
Antara aktiviti menarik ialah sesi memasak yang melibatkan pelajar pascasiswazah Swinburne dan kumpulan wanita kampung, ceramah motivasi, serta persembahan kebudayaan.
Kemuncak program ini adalah pengenalan kepada tradisi Bidayuh iaitu penyediaan pulut panggang atau pangkang. Tradisi ini melambangkan rasa penghargaan dan semangat kekitaan yang masih kekal sehingga kini.
Bagi peserta yang gemar aktiviti luar, ekspedisi mendaki Gua Silabur turut diadakan bersama pakar dari Swinburne Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Program yang melibatkan pelajar pascasiswazah, ahli jawatankuasa BGA, dan pemimpin masyarakat ini menekankan kepentingan kerjasama sambil memupuk pembangunan kemahiran. Selain itu, ia turut mempromosikan tanggungjawab sosial dan pelancongan luar bandar.
Pihak Swinburne Sarawak berharap program seperti ini dapat diteruskan untuk meningkatkan hubungan komuniti, khususnya dalam bidang pendidikan, pembangunan sosial, dan keusahawanan.