KUCHING: Amanah Saham Sarawak (ASSAR) hari ini mengumumkan pengagihan dividen interim sebanyak 3.0 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengagihan kali ketiga pasca penstrukturan semula ASSAR itu melibatkan pembayaran sebanyak RM14.23 juta kepada 57,653 pelabur dan dikira berdasarkan baki pegangan unit pada 31 Disember 2024.
“Ini bermakna terdapat lebihan pendapatan sebanyak RM13.52 juta yang tersedia sebagai rizab bagi menampung pendapatan Tabung ASSAR untuk tempoh yang seterusnya.
“Saya cukup bangga kerana ASSAR terus berjaya memberikan hasil dividen yang kompetitif dengan portfolio ekuiti mengekalkan peranan penting dalam memacu prestasi tabung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman Dividen ASSAR bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini, hari ini.
Sementara itu, katanya, Nilai Aset Bersih (NAB) ASSAR mencatatkan peningkatan secara konsisten kepada hampir RM1.14 pada 31 Disember 2024 dengan pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus.
Peningkatan itu katanya amat membanggakan dalam konteks keadaan pasaran saham yang lebih sederhana apabila indeks FBMKLCI hanya meningkat 3.3 peratus bagi tempoh tersebut.
“Dalam iklim pelaburan yang agak mencabar ini, Tabung ASSAR telah mempelbagaikan pelaburan dalam pasaran ekuiti secara berhati-hati manakala pelaburan di dalam pasaran pendapatan tetap terus diutamakan sejajar dengan objektif Tabung ASSAR untuk memelihara modal sambil menjana pendapatan yang stabil.
“Peruntukan optimum dana antara portfolio ekuiti dan bon ini telah membolehkan Tabung ASSAR mengekalkan pulangan stabil untuk pelabur,” ujarnya.
Untuk rekod, jumlah pendapatan kasar yang direalisasikan bagi tempoh 6 bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 ialah RM22.62 juta, meningkat sebanyak 45 peratus berbanding RM15.59 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Negeri Sarawak Datu Saferi Ali dan Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR Dato Sri Wahab Dolah.
Oleh Rynna Sha’erra