KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd menjangkakan cabaran dan ketidaktentuan pasaran semasa tidak akan memberi kesan kepada prestasinya berikutan kebanyakan perniagaannya disokong oleh kontrak jangka panjang dan aliran perolehan yang stabil.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kamal Bahrin Ahmad berkata, prestasi operasi dan model perniagaan syarikat itu kekal kukuh dengan tarif Tempoh Pengawalseliaan 1 (RP1) dijangka memberi kepastian kepada perolehannya untuk tempoh tiga tahun akan datang.
“Mengenai masa depan, hasrat kami kekal untuk menjadi rakan penyelesaian kepada pelanggan sedia ada. Di samping mengekalkan prestasi operasi yang baik dalam semua aset kami, kami komited untuk memastikan projek siap tepat pada masanya untuk memenuhi komitmen kepada pelanggan baharu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mengenai prestasi Petronas Gas pada 2019, Kamal Bahrin berkata syarikat itu mengakhiri tahun tersebut dengan prestasi yang patut dipuji dengan mengumumkan jumlah dividen 82 sen sesaham bagi tahun itu termasuk dividen khas 10 sen sesaham, yang diterjemahkan kepada nisbah pembayaran dividen 84 peratus berbanding 79 peratus pada 2018, iaitu yang tertinggi dalam sejarahnya.
“Daya tahan Petronas Gas adalah hasil daripada kecemerlangan operasi dan komersial yang dipacu oleh program yang sedang dilaksanakan — 301Q99 Pushing Forward.
“Dengan mematuhi rancangan ini dan memajukan inisiatif pertumbuhan kami, kami akan terus berkembang daripada kekuatan kepada kekuatan, menjadi organisasi lebih efisien yang bersedia untuk liberalisasi pasaran dan cabaran yang wujud,” katanya.
Kamal Bahrin berkata syarikat itu turut terbukti sebagai pengendali yang berhati-hati dan berkebolehan menerusi peralihan lancar daripada tidak dikawal selia kepada Akses Pihak Ketiga (TPA) dikawal selia yang baharu, tahun lepas.
Keuntungan bersih Petronas Gas bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019 meningkat kepada RM1.93 bilion daripada RM1.79 bilion yang direkodkan pada 2018.
Perolehan bagaimanapun rendah kepada RM5.45 bilion daripada RM5.49 bilion. – Bernama