KANOWIT: Kebakaran yang melanda Rumah Panjang Paulus Yan di Sungai Bawan, Jalan Nibong Tada, kelmarin, mendapat perhatian serius daripada Ahli Parlimen Kanowit Aaron Ago Dagang.
Beliau telah melawat lokasi kebakaran dan menyerahkan sumbangan kepada mangsa melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kanowit dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).
Menurutnya, sebagai wakil rakyat bagi kawasan Kanowit, beliau amat memahami kesusahan dan cabaran yang sedang dihadapi oleh mangsa kebakaran ini.
“Saya berharap semua mangsa diberi kekuatan, ketabahan, dan sokongan moral daripada ahli keluarga, rakan-rakan, dan masyarakat sekeliling.
“Saya ingin mengucapkan takziah dan rasa simpati saya kepada 88 penghuni Rumah Panjang Paulus Yan yang telah kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran tragis ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Menteri Perpaduan berkata, kejadian itu bukan sahaja memusnahkan kediaman bahkan hampir semua harta benda milik penghuni di rumah panjang berkenaan.
“Pejabat saya komited untuk membantu mangsa kembali bangkit daripada tragedi ini dan memastikan kehidupan mereka dapat dipulihkan secepat mungkin.
“Semoga mereka yang terjejas diberi rahmat, kekuatan, dan kesabaran untuk menghadapi ujian ini,” katanya.
Terdahulu, kebakaran tersebut telah memusnahkan keseluruhan rumah panjang 15 pintu sekitar 12.00 tengah hari.
Seramai 88 penduduknya tidak sempat menyelamatkan harta benda dan hanya mampu menyelamatkan diri dengan pakaian di badan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Datuk Aaron, Bawan, bagi menempatkan mangsa kebakaran yang terdiri daripada 15 keluarga.
Sementara itu, PPS Kompleks Sukan Kanowit ditutup hari ini sekitar 2.00 petang tadi.