SIBU: Band Death Metal kebanggaan Bumi Kenyalang, Larrong, akan menggunakan khidmat pemain dram jemputan semasa Konsert Nusar Unleashed 2025 di Stadium Tertutup Sibu pada 8 dan 9 Febuari depan.
Pemain gitar utama Larrong, Tazudin Murni berkata, mereka akan menggunakan khidmat Kevin Bancang, pemain dram Severe Bleeding untuk konsert tersebut.
“Kita telah menjemput Kevin Banchang dari band Severe Bleeding sebagai pemain dram jemputan memandangkan beliau memenuhi kriteria teknikal sebagai pemain dram metal, selain beliau seorang metal tegar yang sejati,” katanya.
Selain beraksi di Nusar Unleashed 2025 pada 9 Febuari depan, khidmat Kevin juga ditagih untuk persembahan Larrong semasa Konsert Loud Blast Fest di Panggung Asia, Kuala Lumpur pada 8 Febuari depan.
Pada sidang media Konsert Nusar Unleashed 2025 baru-baru ini, Tazudin berkata, Larrong berhadapan sedikit kekurangan apabila ketiadaan pemain dram.
“Saya agak terkejut apabila dihubungi oleh pihak penganjur iaitu saudara Zulfikar Fariz Ahmad yang bertanya sama ada Larrong sudah bersedia. Sebenarnya kami ada sedikit kekurangan dari segi pemain dram.
“Jadi apabila pihak pengajur bertanya sama ada kami bersedia, saya terus sanggup sebab sebagai rakan, saya harus beri sokong. Ini kerana tanpa pihak penganjur, band tidak ada platform untuk beraksi.
“Saya sambut dahulu tawaran dan kekurangan yang dihadapi akan kita uruskan kemudian. Kita akan membuat sesi ujibakat dalam masa seminggu dua ini,” jelasnya pada sidang media tersebut.
Selain Tazudin, Larrong yang ditubuhkan pada 1993, dianggotai oleh Akramin (vokal), Azrul (gitar) dan Hadi (bass).
Nusar Unleashed 2025 yang julung kali dibuat di Sibu serta dianjurkan oleh Entrex World Empire, Scenedekat dan No Solucion, menampilkan 26 band pelbagai genre dari tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Konsert ini menampilkan 17 band dari Sarawak, disamping band jemputan dari Semenanjung seperti OAG, The Times dan Tebabo X Emmet. Turut beraksi band dari Indonesia iaitu Seringai, Konfliktion, Kelompok Penerbang Roket dan Devdan, selain satu band jemputan dari Brunei iaitu Empty Wallet.
Selain Larrong, band lain dari Sarawak yang turut beraksi pada Nusar Unleashed ialah Heroine, Dilarang Melarang, Drasska, Mono & Saturday Heroes, Radio 83, Automatic The Remote, Clockwise, Hayatunnafs, Destroying Ears, kesemuanya dari Kuching, Haram Jadah dan Neverlost (Sibu), Hemewrath dan Buxnid (Bintulu) serta Niman Ensera (Miri).
Pada 8 Januari lepas bertemakan Alternative Rock Night, antara band yang beraksi termasuk OAG, The Times, Kelompok Penerbang Roket, Empty Wallet serta Mono & Saturday Heroes. Sementara pada 9 Januari lalu yang bertemakan Metal Mayhem, band yang membuat persembahan termasuk Larrong, Seringai, Konfliktion, Devdan dan Tebabo X Emmet.
“Terima kasih kepada pihak penganjur Nusar Unleshed 2025 kerana berani membuat satu konsert yang agak besar buat julung kali di Sibu,” kata beliau.
Untuk mendapatkan tiket masuk, boleh melayari Facebook Nusar Jammed Fest atau dari pengedar sah tiket di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri. Tiket juga boleh dibeli secara dalam talian diĀ www.myticketempire.com/nusarunleashed2025.
Oleh Akun Giman