BINTANGOR: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) akan buat kajian untuk mencampurkan padi hibrid kacukan benih dari China dengan benih padi tempatan.
Ini sekali gus bakal menghasilkan beras daripada kadar biasa dengan purata satu tan untuk satu hektar kepada sembilan tan padi bagi setiap hektar tanah.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia bermakna hasil padi menjadi sembilan kali ganda.
“Unimas akan buat kajian untuk mencampurkan hibrid diantara benih padi dari China dengan benih padi tempatan.
“Kajian ini akan berdasarkan kualiti benih dan struktur tanah kerana kita telah mengenal pasti kawasan ini juga akan menjadi lembah pengeluaran beras kerana ada tanah yang sesuai.
“Kita akan memberikan bantuan dari sudut pengaliran saliran air. Masyarakat di sini sememangnya sudah berkecimpung di dalam penanaman padi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis pelancaran projek padi hybrid dan kilang pemprosesan Padi Onemas di Sungai Padi, hari ini.
Abang Johari berkata syarikat swasta, Onemas Agriculture Sdn Bhd telah bermula dengan benih dari negara China.
Katanya, kaedah pertanian moden dapat mengeluarkan hasil yang banyak.
“Kita menggalakkan petani kecil untuk menanam padi dan kerajaan boleh membeli padi yang dikeluarkannya, bermakna ada pendapatan.
“Sasaran kerajaan Sarawak adalah sebanyak 240,000 tan melalui penanaman padi di Lawas, Limbang, Kuching dan di Sungai Padi.
“Jadi kita tidak bergantung kepada import beras. Kalaulah beras ini ada bertambah (lebihan bekalan), kita boleh eksport beras kita,” katanya lagi.
Selain beras, katanya, produk hiliran seperti tepung beras yang tidak bergantung kepada barang kawalan bagi menghasilkan produk seperti biskut.
“Maknanya, pendekatan kita adalah makanan ruji keperluan rakyat dan kalau ada lebihan pengeluaran beras, selain daripada eksport, kita juga galakkan produk hiliran termasuk tepung beras,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan boleh membekalkan jentera kepada persatuan-persatuan peladang dan sekiranya diperlukan oleh petani-petani kecil, mereka boleh menyewakannya.
Oleh Earl Anek