PETRA JAYA: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mencatat pelbagai pencapaian penting sepanjang tahun lalu termasuk peningkatan ketara dalam pengurusan bajet dan prestasi kerja.
Pengarah JKR Sarawak, Ir Dr Cassidy Morris, memaklumkan bahawa penggunaan bajet jabatan itu mencapai 98 peratus, meningkat berbanding 90 peratus pada tahun sebelumnya.
Namun, sasaran untuk mencapai dasar Projek Kritikal Sifar masih belum sepenuhnya tercapai, dengan dua projek masih tergolong sebagai kritikal sehingga penghujung tahun.
“Walaupun kita belum mencapai Projek Kritikal Sifar sepenuhnya, usaha gigih akan terus dilakukan untuk memastikan semua projek kritikal dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Perhimpunan JKR Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam ini.
Dalam aspek lain, JKR Sarawak turut mencipta rekod baharu melalui pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) menggunakan ‘Balanced Scorecard’ apabila merekodkan skor 9.29 daripada 10.
Prestasi ini jauh lebih tinggi berbanding skor 8.22 pada 2023, meskipun tahap kelulusan KPI semakin ketat setiap tahun.
“Peningkatan ini menunjukkan komitmen seluruh pasukan JKR Sarawak dalam memastikan perancangan dan pelaksanaan projek dilakukan secara optimum,” tambahnya.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan isteri, Dato Doreen Mayang dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo.
Oleh Amanda L.