KANOWIT: Seramai 18 penghuni Rumah Panjang Suzusie Lily, Sungai Baloh, Nanga Ngungun, di sini, telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Nanga Ngungun selepas kediaman mereka dinaiki air setinggi satu meter malam tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung insiden banjir itu diterima pada jam 9.30 malam.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit tiba di lokasi pada jam 10.17 malam, setelah menempuh jarak perjalanan 45 kilometer.
“Operasi ini turut dibantu oleh tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” kata kenyataan itu.
Setibanya di lokasi, pasukan mendapati paras air di dalam rumah panjang telah mencecah satu meter, memaksa penduduk segera dipindahkan kerana keadaan yang semakin berbahaya.
PPS di Dewan Serbaguna Nanga Ngungun mula beroperasi pada jam 11.30 malam untuk menempatkan mangsa banjir.
“Penduduk yang dipindahkan terdiri daripada empat lelaki dewasa, enam wanita dewasa, empat kanak-kanak perempuan, tiga kanak-kanak lelaki, dan seorang bayi perempuan.
“Operasi menyelamat tamat pada jam 2.20 pagi tadi,” katanya.