KUCHING: Petinju sensasi Sarawak, Daeloniel McDelon Bong atau lebih dikenali sebagai “Kilat Boy,” bakal kembali ke gelanggang pada 18 Januari ini dalam Kejohanan Pertarungan Rentap (Rentap FC).
Perlawanan ini akan menyaksikan Kilat Boy bertarung dengan peninju dari Indonesia, Praka Yeret Tildjuir, dalam acara kemuncak ‘Malam Antarabangsa Super Pro’ yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.
Menurut Kilat Boy, persiapannya berjalan lancar dan berada dalam keadaan fizikal serta mental yang baik untuk menghadapi lawannya.
“Persiapan saya kali ini dalam keadaan baik dan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan.
“Walaupun saya telah berehat agak lama sejak kejohanan terakhir pada Mei 2024, prestasi saya sedikit perlahan pada mulanya.
“Namun, dalam beberapa minggu ini saya sudah kembali ke prestasi terbaik sebelum perlawanan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi.
Ketika ditanya mengenai strategi untuk perlawanan akan datang, Kilat Boy menekankan pendekatan santai dengan memberi fokus kepada teknik dan taktik baharu di gelanggang nanti.
Atlet kelahiran Sri Aman itu turut menegaskan bahawa pentingnya untuk tidak terlalu yakin ketika menentang lawan dari Indonesia itu nanti.
“Saya tidak mahu terlalu yakin ketika menghadapi lawan. Saya sentiasa menganggap lawan saya lebih bagus daripada saya. Itu cara saya melihat setiap perlawanan,” katanya.
Terdahulu, pada Mei 2024, Kilat Boy berjaya merangkul gelaran Super Bantamweight Asia Konfederasi Tinju Dunia (WBC) selepas menewaskan petinju Thailand, Yutthichai Wannawong di Stadium Perpaduan.
Dalam pada itu, Rentap FC kali ini dijangka menarik perhatian ramai dengan kehadiran peninju dari pelbagai negara, termasuk Singapura, Kanada, Kenya, Jerman, Indonesia, Thailand, dan Iran.
Acara ini juga menjadi platform untuk menonjolkan bakat tempatan seperti Kilat Boy, yang terus mengharumkan nama Sarawak di arena sukan tempur antarabangsa.
Oleh Mohd Neenatul Aizal