LUBOK ANTU: Kira-kira 21 rumah panjang termasuk tiga sekolah dan sebuah klinik di kawasan Ulu Lemanak dan Engkari terputus hubungan apabila jalan utama di Jalan Kapu itu mendap dan runtuh, hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata runtuhan tanah di jalan terbabit dipercayai berlaku pada awal pagi tadi.
“Tanah mendap itu berlaku disebabkan hujan lebat semalaman. Keadaan ini menyebabkan beberapa penduduk kampung terputus hubungan. Tanah mendap ini mengakibatkan jambatan yang diperbuat daripada kayu balak runtuh.
“Tanah mendap selebar 22 kaki dan sedalam 14 kaki menyebabkan penduduk kampung yang menggunakan jalan tersebut terputus hubungan. Jalan tidak dapat dilalui oleh sebarang kenderaan besar dan kecil,” katanya.
Desem berkata atas faktor keselamatan, pita keselamatan telah dipasang dari kedua-dua arah agar penduduk sentiasa berwaspada dengan keadaan jalan mendap tersebut.
“Terdapat jalan alternatif lain yang boleh digunakan namun mereka terpaksa melalui jalan jauh dan mengambil masa yang agak lama iaitu dari Jalan Sengkunyit. Keadaan tanah mendap berisiko menjadi lebih besar sekiranya hujan turun lagi,” katanya.
Desem berkata semasa pemantuan dilakukan, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah tiba di lokasi kejadian bagi memantau tanah mendap. Difahamkan pihak mereka akan mengarahkan pihak kontraktor membaik pulih jalan tersebut.
Beliau turut menasihati orang awam agar peka terhadap keadaan jalan dan menasihati mereka agar menggunakan jalan alternatif sekiranya ada urusan di luar.
Sebnayak 21 rumah panjang yang terjejas iaitu Rumah Panjang Kapu Ulu, Bila Antu Ili, Bila Antu Ulu, Kachong, Bangai, Nanga Bawi, Bawi Patoh, Ulu Bawi, Bawi Luta, Menggiling, Stapang, Ukom, Mengkak, Nanga Tutong, Sepaya, Lubok Pantu, Rantau Kembayau Manis, Nanga Talong, dan Tarum Buai.
Selain itu, tiga sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) SK Ulu Engkari, SK Menyebat, SK Tibu dan sebuah Klinik Kesihatan Nanga Stamang.
Oleh Adi Safarman