SARIKEI: Pendidikan merupakan salah satu agenda pembangunan yang terpenting di negara kita.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM64.1 bilion bagi menyediakan pendidikan berkualiti di seluruh negara.
“Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa berusaha memastikan pelaksanaan Program Transformasi Luar Bandar (RTP), yang bertujuan untuk pembangunan infrastruktur, dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang berfokus kepada inisiatif kecil luar bandar dapat direalisasikan dengan berkesan.
“Ini adalah bagi memastikan pembangunan pendidikan di kawasan DUN Repok dan Parlimen Sarikei terus diberi keutamaan,” katanya ketika berucap di majlis anugerah kecemerlangan Anthonians ke-38 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, hari ini.
Katanya, beliau juga memperkenalkan program pembangunan sahsiah pelajar untuk memberikan bantuan seperti pakaian seragam, beg dan kasut sekolah kepada semua pelajar dan murid di kawasan Parlimen Sarikei.
“Usaha-usaha ini diharapkan dapat menyokong aspirasi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sarikei dalam merealisasikan matlamat ” Sarikei Number 1″,” katanya.
Dalam pada itu, Tiong Sii berkata dasar pendidikan digital merupakan salah satu agenda pembangunan pendidikan yang penting pada masa kini.
“Saya telah difahamkan bahawa guru-guru di sekolah ini telah memanfaatkan pedagogi digital dalam pengajaran dan pembelajaran dengan cemerlang. Maka, tahniah saya ucapkan dan teruskanlah usaha baik ini.
“Amalan mempelbagaikan kaedah pengajaran dengan penguasaan isi kandungan terbaik adalah penting bagi menghasilkan pelajar-pelajar yang berkualiti.
“Pendidikan kita perlu sentiasa berkembang dan memberikan nilai tambah,” katanya lagi.
Sehubungan itu, katanya, sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, beliau turut menggalakkan pihak sekolah untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang memupuk kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar.
“Langkah-langkah ini boleh dimulakan di peringkat sekolah melalui program-program seperti Jom Beli Produk Hijau, Hari Alam Sekitar, Jom E-Waste, Hari Pembersihan Am serta ceramah dan forum berkaitan kelestarian alam.
“Peningkatan kesedaran mengenai penggunaan sumber asli dan pemeliharaan alam sekitar amat penting bagi memastikan pembangunan negara yang mampan,” katanya.
Pada majlis sama, Tiong Sii turut menyerahkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada SMK St Anthony.
Turut hadir ialah Pengerusi PIBG SMK St Anthony Maureen Chua Geik Lian, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei Lau Ngie Tung, Pengetua SMK St Anthony Vincent Liong Shou Chuan dan Pemanca Chan Phan Chan.
Oleh Earl Anek