KUCHING: Sarawak kekal berpegang teguh kepada prinsip-prinsip federalisme yang menjadi asas kepada pentadbiran negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan bahawa sebagai salah satu rakan pengasas Malaysia, Sarawak memainkan peranan penting dalam menjaga keseimbangan kuasa antara kerajaan pusat dan negeri, selain memastikan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus dihormati.
Beliau menegaskan bahawa Sarawak akan terus mempertahankan hak dan autonominya demi kesejahteraan rakyat, sambil memastikan wilayah ini kekal sebagai tonggak utama kejayaan Persekutuan Malaysia.
“Dengan memegang teguh prinsip-prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan memperjuangkan hak serta tanggungjawab yang diberikan, Sarawak bukan sahaja memastikan masa depannya terjamin, tetapi juga memberi sumbangan kepada kemakmuran bersama Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanatnya yang memfokuskan tentang federalisme dari perspektif Sarawak pada majlis makan malam gala sempena Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2025 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Tegasnya, Sarawak terus memegang kuasa utama dalam bidang penting seperti tanah dan sumber asli, manakala Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab ke atas hal-hal lebih besar seperti pertahanan dan dasar luar negara.
Pembahagian kuasa ini, menurutnya, menunjukkan bahawa sistem federalisme Malaysia diasaskan pada kerjasama harmoni.
“Kerajaan Pusat dan negeri berfungsi secara seimbang tanpa ada pihak yang mendominasi, demi mencapai matlamat bersama,” ujarnya.
Mengulas lebih lanjut, Sarawak menginginkan sebuah persekutuan yang mengutamakan keharmonian dalam perpaduan dan kepelbagaian, dengan setiap negeri memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kejayaan negara secara keseluruhan.
“Fokus utama Sarawak adalah kepada pembangunan mampan, tenaga boleh diperbaharui dan inisiatif hijau, yang selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju global dalam bidang-bidang ini.
“Dengan memanfaatkan sumber-sumber secara bertanggungjawab dan menggalakkan inovasi, Sarawak bertekad untuk menjadi contoh kemajuan dalam persekutuan, sambil memacu perkembangan yang seimbang dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar,”ujar beliau.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Peguam Negara Malaysia Dato’ Mohd Dusuki Mokhtar, Peguam Besar Negeri Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Brenndon Keith Soh, Pengarah Mahkamah Negeri Sarawak Steve Ritikos, Pengarah Mahkamah Negeri Sabah Marutin Pagan, Presiden Persatuan Peguambela Sarawak Gurvir Singh Sandhu serta dif-dif kenamaan lain.