SAO PAULO: Neymar berkata Piala Dunia 2026 adalah yang terakhir buatnya ketika dia yakin Brazil akan layak ke pusingan akhir di Amerika Utara.
“Saya sedar ini Piala Dunia terakhir saya, percubaan terakhir saya, peluang terakhir saya dan saya akan melakukan segala-galanya untuk beraksi di sana,” kata penyerang berusia 32 tahun itu, yang tidak tampil bersama Brazil lebih setahun, kepada CNN.
Dia turut memberitahu rangkaian berita Amerika itu dalam satu temu ramah yang disiarkan kelmarin dia tidak menolak kemungkinan bersatu semula dengan bekas rakan sepasukan Barcelona, Lionel Messi dan Luis Suarez di kelab MLS, Inter Miami.
“Sudah tentu, bermain sekali lagi bersama Messi dan Suarez pasti menakjubkan,” kata Neymar pada satu majlis anugerah di Dubai.
Brazil bergelut pada kempen kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan.
Selepas 12 daripada 18 perlawanan, mereka di tangga kelima kelayakan 10 negara itu. Namun enam pasukan teratas terjamin tempat ke Piala Dunia dan Brazil unggul lima mata di depan pasukan tangga ketujuh Bolivia.
“Saya amat yakin terhadap pasukan, terhadap pemain yang semakin meningkat, yang masih muda,” katanya.
“Kami tidak berada dalam posisi yang kami mahukan.”
“Saya fikir secara bersama kami boleh meraih sesuatu yang amat besar. Kami mempunyai setahun, setahun setengah untuk bekerja, melakukan perkara yang tepat untuk layak ke Piala Dunia,” kata Neymar.
Neymar memulakan empat aksi pertama Brazil pada pusingan kelayakan tetapi cedera ketika rehat apabila mereka tumpas di tangan Uruguay pada Oktober 2023.
Selepas pembedahan lutut, dia berehat selama setahun.
Dia kembali ke kelab Arab Saudi, Al-Hilal dengan dua penampilan singkat pada Oktober dan November tetapi cedera hamstring dan tidak bermain sejak itu. – AFP