LUNDU: Projek penternakan udang berpotensi menjana eksport mencecah RM27 juta setiap tahun dengan pengeluaran lebih daripada 1,300 tan metrik udang.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata sebagai contoh projek ternakan udang di Loba Stoh Rambungan di sini berpotensi untuk terus maju.
“Projek ini memanfaatkan teknologi canggih untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan impak terhadap alam sekitar melalui sistem pintar yang memantau keadaan secara masa nyata dan analitik ramalan bagi memastikan kualiti air optimum serta mengurangkan risiko penyakit.
”Selain itu, Sistem Akuakultur Resirkulasi Maju (RAS) memastikan tiada pembuangan air sisa, dengan sokongan rawatan air sisa berperingkat seperti biofiltrasi rumpai laut dan rawatan ozon,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat projek itu di Loba Stoh Rambungan di sini, hari ini.
Rundi berkata kementeriannya komited untuk terus menyokong usaha syarikat-syarikat penternakan udang supaya industri itu berkembang secara mampan.
Katanya, kerajaan Sarawak akan membantu terutamanya dari segi sudut nasihat teknikal dan sokongan kewangan untuk pembinaan kemudahan asas.
”Sehubungan itu, kementerian kita akan membantu penternak-penternak udang di Sarawak untuk mendapatkan pensijilan alam sekitar, prinsip tadbir urus (ESG).
”Pensijilan ESG ini penting kerana ia membolehkan pengeluaran udang itu dijual dalam pasaran khusus ke negara-negara tertentu berbanding secara tradisional yang hanya terhad kepada pasaran tempatan,” katanya.
Menjelas lanjut berkenaan program itu, Rundi memberitahu projek itu merupakan sebahagian daripada usaha Rambungan Aqua Life Sdn Bhd untuk menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Ekonomi Digital Sarawak (SDE) 2030 yang memberi fokus kepada pemodenan teknologi serta pemeliharaan alam sekitar.