Guardian, Mannings lancar jenama penjagaan kulit “Clera Cera” khusus untuk kulit Asia

Facebook
WhatsApp
CLERA CERA...jenama penjagaan kulit dermatologi berlandaskan sains baharu yang dirumus khusus untuk kulit orang Asia. Foto Guardian Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 Oktober: Guardian dan rangkaian baharu Mannings Guardian hari ini melancarkan Clera Cera, sebuah jenama penjagaan kulit dermatologi berlandaskan sains baharu yang dirumus khusus untuk kulit orang Asia.

Jenama itu dibangunkan bersama dengan pasukan pakar dari Pusat Kulit Kebangsaan Singapura, sebuah institusi di bawah NHG Health, bagi membawa produk penjagaan benteng kulit itu ke pasaran runcit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kesihatan dan Kecantikan DFI Retail Group Curtis Liu berkata inisiatif tersebut, menandakan lembaran baharu bagi pihaknya yang kini bukan sekadar menjual, malah turut membangunkan produk kesihatan dengan sokongan kepakaran klinikal Pusat Kulit Kebangsaan di bawah NHG Health.

“Inisiatif ini membawa kepakaran dermatologi melangkaui persekitaran klinikal ke rak kedai yang menjadi pilihan pelanggan, pada harga yang sesuai untuk kegunaan harian.

“Ini merupakan satu daripada pelbagai cara kami terus menjadikan kesejahteraan lebih mudah diakses oleh segenap lapisan masyarakat, selaras dengan komitmen kami sebagai ‘Penasihat Kesejahteraan Dipercayai pelanggan’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Clera Cera merupakan inisiatif pertama yang memfokuskan penjagaan kulit dermatologi di bawah kerjasama jangka panjang antara DFI Retail Group dengan NHG Health, yang  telah diumumkan pada Oktober 2025.

Ini merupakan pertama kali sebuah kelompok penjagaan kesihatan awam di Singapura bekerjasama dengan peruncit, dalam menghasilkan penyelesaian kesihatan yang selamat dan berkesan.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Lembaga Perubatan (Penyelidikan) NHG Health, Profesor Benjamin Seet berkata kerjasama dengan peruncit membolehkan pihaknya menterjemahkan pengetahuan klinikal dan penyelidikan kepada manfaat kesihatan yang melangkaui hospital dan klinik.

“Kesihatan kulit hanyalah titik permulaan. Peluang yang lebih luas merangkumi bidang seperti pemakanan warga emas dan penjagaan di rumah, yang akan diterokai bagi memenuhi keperluan populasi kita yang semakin menua,” katanya.

Clera Cera dibangunkan bersama pasukan dermatologi terkemuka dari Pusat Kulit Kebangsaan Singapura diterajui oleh Profesor Madya Tey Hong Liang, saintis yang disenaraikan dalam kelompok 2.0 peratus terbaik dunia oleh Universiti Stanford dan Elsevier, bersama Ahli Farmasi Utama, Winnie Choo.

Ia berteraskan kepada Sistem Ketahanan Benteng Kulit bagi memulihkan, membaiki dan melegakan kulit menerusi gabungan Derma-Clera™ yang diperkaya dengan ekstrak botani Cynanchum Atratum (Bai Wei), untuk membantu menegangkan kulit serta lima seramida yang membantu menggantikan lipid penting dalam benteng kulit untuk menyokong kelembapan, pembaikan dan kekuatan kulit.

Sementara itu, Tey yang merupakan Pengarah Klinikal Pusat Teknologi Perubatan dan Inovasi, NHG Health, serta Pakar Perunding Kanan Dermatologi di Pusat Kulit Kebangsaan Singapura berkata pendedahan kepada pencemaran dan iklim panas serta lembap, ditambah pula dengan tabiat kerap mencuci kulit dan penggunaan produk yang bersifat keras, boleh melemahkan benteng pelindung kulit Asia dari semasa ke semasa.

“Di klinik kami, keadaan ini sering dilihat dalam kalangan pesakit yang mempunyai kulit sensitif. Benteng kulit bergantung pada lipid semula jadi seperti seramida dan dapat disokong sebaiknya melalui penjagaan yang lembut dan konsisten, menggunakan formulasi ringan yang selesa digunakan setiap hari,” katanya.

Pembangunan Clera Cera didorong oleh faktor cuaca panas, kelembapan tinggi serta pencemaran yang boleh menjejaskan kulit orang Asia.

Penyelidikan menunjukkan kulit Asia mempunyai lapisan luar yang lebih nipis dan mudah terdedah kepada bahan yang menyebabkan iritasi, dengan kira-kira satu daripada tiga orang di rantau ini dilaporkan mempunyai kulit sensitif.

Selain itu, formulasi bebas pewangi sintetik dan tidak melekit itu juga dihasilkan menerusi sesi maklum balas serta ujian penggunaan melibatkan lebih 18,000 pengguna di lima pasaran iaitu Malaysia, Singapura, Hong Kong, Indonesia dan Vietnam.

Rangkaian sembilan produk penjagaan badan, wajah, serum khas dan pelindung matahari Clera Cera, boleh didapati di Malaysia secara eksklusif di Guardian Health & Beauty serta secara dalam talian, dengan harga bermula daripada RM22.90. – Bernama