PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak memberikan sokongan kepada semua institusi tanpa mengira status pentadbiran termasuk Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Mengambil kira betapa pentingnya pendidikan awal kanak-kanak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan memaklumkan, kerajaan negeri memperuntukkan RM5,000 kepada semua institusi pendidikan awal, setiap tahun.
“Dana ini digunakan untuk pelbagai komponen penting seperti pembelajaran pantas, pendigitalan dan program makanan sihat serta majlis ataupun program yang melibatkan ibu bapa.
“Peruntukan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membina modal insan cemerlang untuk masa depan negara.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan majlis Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika KEMAS Sesi 2024/2025 mewakili ADUN Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni di Penview Convention Centre (PCC) Demak di sini, hari ini.
Pendidikan awal, jelasnya, bukan sekadar persediaan untuk sekolah rendah, tetapi juga langkah awal dalam membentuk individu yang yakin diri, kreatif dan memiliki kemahiran sosial yang baik.
Tegasnya, sokongan guru dan ibu bapa, kunci kejayaan peranan guru sebagai pendidik dan ibu bapa sebagai pendukung utama di rumah adalah faktor penting dalam membentuk kanak-kanak menjadi pemimpin masa depan.
“Tahniah kepada semua atas sokongan dan dorongan yang diberikan di dalam usaha memberikan pendidikan dan pengalaman yang terbaik buat generasi pelapis negara.
“Siapa tahu bakat-bakat yang dicungkil daripada awal melalui inisiatif KEMAS dalam memberikan keyakinan dan rasa percaya diri dapat menjadi titik tolak lahirnya seorang pemimpin yang berjaya suatu hari nanti,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai majlis, seramai 605 kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) KEMAS dalam Parlimen Santubong diraikan, hari ini.
Majlis penyampaian sijil anugerah kanak-kanak ini melibatkan 66 kelas Tabika KEMAS yang beroperasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu, Pantai Damai dan Demak Laut.
Oleh Noor Ikmal