BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, menggesa tindakan segera bagi menangani isu kesesakan lalu lintas dan keselamatan di kawasan pembinaan jejambat Medan Jaya, susulan pelaksanaan perubahan laluan sementara di persimpangan utama bandar Bintulu.
Beliau menzahirkan kebimbangan mengenai risiko dihadapi pengguna jalan raya, terutama pada waktu puncak, akibat kelemahan dalam pengurusan laluan alternatif.
“Saya telah meminta kontraktor meningkatkan bilangan pekerja dan segera memperbaiki papan tanda amaran serta pencahayaan di kawasan ini.
“Ia adalah langkah asas tetapi penting untuk keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Johnny menegaskan bahawa penduduk setempat tidak seharusnya dibebankan dengan kelewatan projek yang berlarutan.
“Saya memahami pembangunan memerlukan masa, tetapi keselamatan rakyat adalah keutamaan.
“Penduduk Bintulu sudah lama menunggu penyelesaian untuk masalah kesesakan di kawasan ini.
“Saya akan pastikan projek ini tidak tersasar daripada jadual yang telah ditetapkan,” tambahnya.
Beliau juga menyeru semua pihak berkepentingan, termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor, agar lebih proaktif dalam menangani isu yang timbul sepanjang tempoh pembinaan.
“Kerjasama erat antara pihak berkuasa, kontraktor dan masyarakat adalah kunci untuk memastikan projek ini berjaya tanpa mengorbankan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya,” katanya.
Projek jejambat Medan Jaya dijangka menjadi mercu tanda baharu di Bintulu, sekali gus menjadi penyelesaian jangka panjang bagi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan strategik tersebut.