SIBU: Seorang lelaki tersepit selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan lori muatan kelapa sawit di Jalan Sibu Bintulu-Selangau, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 11.15 pagi.
“Kemalangan melibatkan kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori muatan kelapa sawit.
“Seorang lelaki pemandu kenderaan pacuan empat roda tersepit pada bahagian kaki dan berjaya di keluarkan oleh anggota bomba,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, mangsa diserahkan kepada ambulan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dihantar ke pusat perubatan terdekat untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.