SIBURAN: Seorang lelaki mengalami kecederaan pada bahagian kaki setelah kereta yang dipandu terjatuh dari cerun bukit berketinggian anggaran 15 ke 20 meter dalam kejadian kemalangan di Kampung Lintang Baru di sini, hari ini.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden pada 8.07 pagi.
Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota dengan kekuatan tujuh orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi (KO) melaporkan kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi yang terbabas ke dalam cerun dan mengakibatkan seorang mangsa lelaki dewasa terperangkap dan tersepit pada bahagian kaki.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian bertindak melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang terperangkap menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serian bagi mendapatkan rawatan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.05 pagi setelah PKO memastikan keadaan kembali selamat.