LIVERPOOL: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk mempertahankan Trent Alexander-Arnold atas persembahan hambarnya ketika menentang Manchester United.
Van Dijk turut menolak tanggapan yang menyatakan keinginan Real Madrid untuk mendapatkan rakan sepasukannya itu sebagai punca kepada impak negatif Alexander-Arnold.
Alexander-Arnold menjadi punca kepada jaringan pembukaan Lisandro Martinez yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Anfield, sekali gus memperlihatkan prestasi pemain berkenaan berada di bawah standard sebenarnya.
Prestasi hambar bek kanan itu sudah berlarutan panjang dan sering menjadi pendebatan mengenai masa depannya bersama pasukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Kontrak pemain berusia 26 tahun itu bakal tamat pada penghujung musim ini dan ini bermakna dia kini boleh menandatangani pra kontrak bersama kelab luar negara.
Gergasi Sepanyol, Real, dilaporkan membuat bidaan untuk menandatanganinya namun Liverpool dipercayai menolak tawaran berkenaan.
Liverpool dijadual menentang Tottenham di London pada Rabu ini untuk aksi pertama separuh akhir Piala Liga.
“Trent mempunyai orang disekelilingnya, keluarganya dan kami juga ada di sini untuknya,” kata Van Dijk.
“Dia mahu beraksi di tahap terbaik mungkin, sama seperti yang kami lakukan. Itu menjadi fokus utama.” – AFP