LIVERPOOL: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, mendakwa suasana di kelab itu menjadi ‘terlalu selesa’ dan mencabar para pemainnya untuk mengekalkan mentaliti yang sama seperti ketika mencatat keputusan seri 2-2 menentang Liverpool di Anfield pagi tadi.
Tidak ramai yang menjangkakan skuad Amorim mampu memberikan saingan kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris itu, apatah lagi selepas empat kekalahan berturut-turut.
Namun, United tampil dengan aksi berbeza, jauh daripada persembahan hambar mereka ketika tewas kepada Bournemouth, Wolves dan Newcastle.
Mereka berjaya menjaringkan gol pertama di Anfield sejak 2018 dan layak membawa pulang satu mata.
“Saya mahu lihat pasukan saya bermain dengan lebih baik, tetapi kunci utama hari ini adalah mentaliti,” kata Amorim.
“Saya rasa bukan hanya pemain, tetapi semua orang di Manchester United terlalu selesa. Kadangkala kami perlukan kejutan, dan hari ini anda boleh lihat kami adalah pasukan yang berbeza.”
Kapten United, Bruno Fernandes, turut meluahkan rasa kecewa kerana pasukannya hanya menunjukkan potensi sebenar ketika menentang pasukan terbaik liga, tetapi sering gagal mengekalkan prestasi itu musim ini.
“Hari ini kami adalah pasukan yang berbeza bukan kerana sistem atau aspek taktikal permainan. Lawan siapa pun, kami perlu bermain seperti ini setiap hari,” tambah Amorim.
“Hari ini semuanya tentang fokus. Fokus pada situasi bola mati, fokus pada hantaran bola di kawasan yang kami tidak boleh kehilangan bola, kerana di bahagian lain padang ada pemain seperti Mohamed Salah dan Luis Diaz.
“Jika kami ada mentaliti seperti ini setiap hari, kami akan menjadi pasukan yang berbeza.”
Liverpool kini memiliki kelebihan enam mata di puncak liga dengan satu perlawanan dalam tangan berbanding Arsenal yang berada di tempat kedua selepas turut diikat Brighton.- AFP