SARIKEI: Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis akan menganjurkan Cabaran Muay Thai P.206 Tanjong Manis pada 24 Januari hingga 25 Januari ini bertempat di Stadium Bola Keranjang, Taman Susur Jambu.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, ia adalah julung kalinya diadakan serta turut mendapat sokongan penuh Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Persatuan Muaythai Malaysia (PMM).
“Ini merupakan satu penganjuran Muay Thai yang julung kali dianjurkan di kawasan Parlimen Tanjong Manis, khususnya di Sarikei.
“Penganjuran pertandingan seperti ini di kawasan luar bandar adalah sangat penting untuk PMNS mencungkil bakat-bakat baru yang mungkin berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, terutamanya sebagai pelapis skuad Sukan Malaysia (SUKMA).
“Untuk makluman semua, berdasarkan keputusan SUKMA 2024, pertandingan muaythai telah mendapat lima emas, lima perak dan tiga gangsa…jadi ini merupakan satu kejayaan yang begitu cemerlang untuk pertandingan muaythai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Cabaran Muay Thai P.206 Tanjong Manis bertempat di Pusat Khidmat P.206 Tanjong Manis, petang semalam.
Yusuf berkata PMNS telah bergerak ke kawasan luar bandar untuk mencungkil bakat-bakat baharu.
Katanya, petandingan ini akan bermula pada hari pertama iaitu sesi Mari Mencuba Sukan Muay Thai pada 24 Januari dari jam 4.00 petang hingga 6.00 petang dan pendaftaran bermula jam 3.00 petang.
“Ini bagi tujuan promosi sukan Muay Thai dan peluang kepada mereka yang berminat untuk mendalami sukan ini dengan teknik betul dan akan dikendalikan oleh jurulatih bertauliah.
“Pada 25 Januari, akan berlangsung perlawanan muaysport dan semi pro bermula pada 9.00 pagi sehingga ke 11.00 malam.
“Setakat ini, kita mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari kelab-kelab muaythai sekitar Miri, Bintulu, Samarahan, Kuching, Bau termasuk jemputan dari Kalimantan Barat,” katanya.
Jelasnya, sebanyak 40 bout perlawanan akan diadakan pada hari tersebut termasuk perlawanan superfight pro dan seni pro.
“Jadi saya menyeru kepada warga Tanjung Manis khususnya belia-belia di kawasan sekitar Sarikei dan Tanjung Manis amnya yang berminat dengan sukan Muay Thai dan ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan sukan ini hadir ke pertandingan ini nanti.
“Kemasukan adalah percuma, jadi kita harap penyertaan beramai-ramai di Stadium Bola Keranjang, Taman Susur Jambu akan menarik minat orang ramai untuk datang menyaksikan perlawanan ini.
“Untuk makluman, beberapa kelab seperti Kelab PS Muaythai Bintulu, RAFF Teras Muaythai GYM Selangor, Muaythai Kenyalang Kuching, Sting Muaythai Kuching, Bau Muaythai, Singa-30 Muaythai Club Miri, Legacy Muaythai Kuching, Phoenix Meranek Samarahan dan West Borneo Muaythai Club, Kalimantan Barat yang akan menyertai cabaran ini,” katanya.
Katanya, setakat ini, lebih kurang 100 peserta telah mendaftar untuk menyertai pertandingan pada hari kedua.
Turut hadir di sidang media ialah Timbalan Bendahari PMNS, Norizan Ibrahim, Timbalan Setiausaha PMNS, Ali Mos dan AJK PMNS, Asrulnizam Sirat.
Oleh Earl Anek