SIMANGGANG: Keberkesanan Ketua Kaum dalam memimpin penduduk di penempatan masing-masing akan diukur melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.
Menurut beliau, pengenalan KPI adalah amat penting selaras dengan perkembangan semasa dan cabaran dalam mentadbir kampung atau rumah panjang masing-masing oleh Ketua Kaum tersebut pada masa sekarang.
“Ketua Kampung atau Tuai Rumah memikul tanggungjawab penting yang diberi oleh Kerajaan Sarawak dalam memastikan proses pembangunan penduduk dan penempatan mereka berjalan lancar.
“Atas sebab itulah KPI ini dilaksana dengan pihak Pejabat Daerah akan bertindak sebagai ‘majikan’ mereka bagi memastikan golongan tersebut terus komited memimpin penduduk di penempatan mereka dari masa ke semasa,” kata beliau.
Harden berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Perlanjutan Ketua Kampung, Tuai Rumah dan Kapitan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang di bilik mesyuarat, Pejabat Daerah Sri Aman di sini.
Selain itu beliau pada majlis berkenaan juga mengingatkan Ketua Kaum agar sentiasa menitik beratkan pematuhan peraturan ketika mengurus organisasi bersama dengan anak buah masing-masing.
Katanya tindakan berkenaan adalah amat penting agar pertubuhan mempunyai rekod pengurusan yang telus dan seterusnya menyakinkan anak buah masing-masing di bawah pimpinan mereka.
“Saya juga menasihat semua Ketua Kaum di sini agar sering mengadakan mesyuarat dalam kalangan ahli untuk merangka aktiviti dan projek yang bakal dilaksana di kawasan penempatan mereka.
“Lagi pun Ketua Kaum juga haruslah sering menerangkan pengurusan belanjawan pertubuhan terhadap semua ahli bagi mengelak timbulnya isu sensitif yang disebabkan oleh perkara tersebut kelak,” kata beliau.
Terdahulu seramai 16 orang Ketua Kampung, Tuai Rumah serta Kapitan dalam DUN Simanggang ini menerima sijil perlanjutan jawatan masing-masing pada majlis itu dengan dua orang individu menerima lantikan baharu sebagai Ketua Kampung dan Kapitan.
Hadir sama bagi menyaksikan majlis berkenaan adalah Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee dan Joshua selaku wakil Residen Bahagian Sri Aman, Pemanca Lee Shiang Hua dan Penghulu Tiong Chong Onn.
Oleh Valentine Ngumbang