LINGGA: Program berkhatan percuma Sunathon Perdana 2025 akan diadakan pada 18 Januari 2025 bersempena cuti sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata program kali keduanya dianjurkan itu melibatkan seramai 150 peserta kanak-kanak berusia sekitar sembilan hingga 12 tahun.
“Program ini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Daerah Sri Aman, Majlis Daerah Lingga, Persatuan Doktor Pembedahan Hospital Sri Aman serta agensi-agensi terlibat.
“Seperti sedia maklum, penganjuran program pada tahun lepas telah diadakan di Masjid Bandar Sri Aman, jadi pada tahun ini, bersempena cuti sekolah kita akan anjur program ini di Lingga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program berkhatan percuma Sunathon Perdana 2025 di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Daerah Lingga hari ini.
Dayang Noorazah berkata program itu bertujuan menghidupkan semula budaya berkhatan secara beramai-ramai yang sudah lama tidak dipergiatkan selain membantu meringankan beban ibu bapa pelajar.
“Jika ke klinik kerajaan, mereka perlu mengeluarkan kos pengangkutan dan jika ke klinik swasta pula, mereka terpaksa bayar RM150 hingga RM200 bagi setiap anak. Jadi menerusi program ini mereka dapat perkhidmatan percuma,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Hospital Sri Aman, Dr. Hazwani Mohd Yusup; Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sri Aman, Mohd Hamizan Yahya; Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sri Aman, Nurshazani Fadli Salihin; Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, Chimiam Duyu dan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK).
Oleh Adi Saparman