KUALA LUMPUR: Indeks Pelopor (IP) pada April 2020 merosot lebih jauh kepada negatif 5.5 peratus daripada negatif 3.6 peratus pada Mac 2020 berikutan gangguan berpanjangan dalam ekonomi, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Beliau berkata bagi perbandingan tahun ke tahun, IP bagi April 2020 merekodkan penurunan sebanyak 5.6 mata kepada 96.3 mata daripada 101.9 mata pada April 2019.
Prestasi IP pada April 2020 itu didorong sumbangan negatif daripada bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan serta bilangan syarikat baru didaftar.
“Mengambil kira prestasi tahunan IP dan kitaran pertumbuhan IP terhadap trend arah aliran jangka panjang yang lebih lemah, dijangkakan ekonomi kekal dalam trajektori penguncupan bagi bulan-bulan ke hadapan,” katanya pada sidang media secara dalam talian menerusi laman Facebook Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.
Mohd Uzir berkata isyarat awal kemelesetan ekonomi telah ditunjukkan oleh IP sejak Oktober 2019, apabila ekonomi mula perlahan disebabkan ketegangan perdagangan global dan penguncupan bertambah buruk susulan pandemik COVID-19.
“Trend menurun ini disahkan oleh Indeks Serentak (IS) bermula Februari 2020,” katanya.
Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi keseluruhan ekonomi semasa, mencatatkan penurunan mendadak pada negatif 15.6 peratus berbanding negatif 6.9 peratus pada bulan sebelumnya.
Beliau berkata tahun ke tahun, IS merosot kepada negatif 19.3 peratus pada April 2020 daripada negatif 3.6 peratus yang dicatatkan pada Mac 2020.
Ini mencerminkan penutupan perniagaan dan permintaan menjunam pada April 2020, katanya.
Beliau berkata pelaksanaan rancangan pemulihan ekonomi iaitu Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan teras memperkasakan masyarakat, mendorong perniagaan dan merangsang ekonomi akan membantu meredakan tekanan ekonomi walaupun prospek ekonomi adalah mencabar.
“Oleh itu, gabungan perancangan ekonomi jangka pendek dan jangka panjang dilihat dapat mendorong pemulihan ekonomi yang mampan,” katanya. – Bernama