SIBU: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Sibu adalah organisasi yang tepat untuk menerajui penyediaan latihan tentang penggunaan alat Defibrilator Luaran Automatik (AED).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata, usaha ini penting untuk menyediakan latihan yang betul dalam memaksimumkan potensi menyelamatkan nyawa melalui AED.
“Mempunyai undang-undang dan peralatan adalah tidak berguna jika tiada siapa yang tahu menggunakannya.
“Justeru, BSMM Cabang Sibu boleh memainkan peranan penting dalam melatih orang ramai tentang penggunaan alat AED,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Malam Penghargaan BSMM Cabang Sibu, malam tadi.
Kelmarin, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata kerajaan Sarawak sedang menggubal undang-undang untuk mewajibkan pemasangan AED bagi membantu mangsa serangan jantung, di tempat awam.
Ia membabitkam pindaan di bawah Ordinan Bangunan Sarawak 1994.
AED ialah peranti perubatan mudah alih yang canggih tetapi mesra pengguna, direka untuk membantu individu yang mengalami serangan jantung secara tiba-tiba. Alat ini boleh menganalisis irama jantung dan jika perlu, memberikan kejutan elektrik (defibrilasi) untuk membantu memulihkan rentak yang normal dan berkesan.
Chieng mengakui keperluan untuk meningkatkan kemudahan latihan bagi memastikan pendidikan yang menyeluruh.
“Memandangkan kadar penyakit jantung yang tinggi di Sarawak, saya sangat bersetuju dengan cadangan ini dan percaya bahawa BSMM Cawangan Sibu boleh memainkan peranan penting dalam kejayaannya,” katanya.
Beliau menyokong permintaan Pengerusi BSMM Cabang Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee untuk tajaan bagi mendapatkan jurulatih AED, yang disifatkannya sebagai sangat tepat pada masanya.
“Untuk menyediakan kemudahan latihan yang lebih baik, bergantung kepada skrin kecil sahaja mungkin tidak mencukupi. Oleh itu, saya juga bersetuju dengan permintaan pengerusi kami untuk menaja jurulatih AED,” katanya.
Chieng turut menekankan impak yang lebih luas daripada latihan sedemikian, dengan menyatakan bahawa melengkapkan lebih ramai orang awam dengan pengetahuan untuk menggunakan AED boleh meningkatkan tindak balas kecemasan dan menyelamatkan nyawa.
“Sebab itu, adalah sangat penting bagi BSMM Cabang Sibu untuk menerajui penyediaan latihan AED kepada jawatankuasa tempatan untuk ruang awam, jawatankuasa JKKK, peniaga di pasar kami, dan sebagainya.
“Usaha sedemikian akan memastikan bahawa intervensi menyelamatkan nyawa dapat diakses dan berkesan apabila diperlukan,” katanya lagi.
Oleh AKUN GIMAN