LIMBANG: Tanah gelongsor berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Menuang perlu dibaiki segera bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Menurut penduduk, kawasan kejadian itu terletak berhampiran laluan utama dan berpotensi mendatangkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya.
Seorang penduduk Albert Lim,53, memberitahu kerja pembaikan perlu dilaksanakan secepat mungkin kerana itu antara laluan utama dan banyak kenderaan awam melalui jalan ini.
“Bukan saja dilalui penduduk Limbang, laluan itu merupakan jalan utama pengguna dari Brunei dan sekitarnya untuk ke bandar Limbang mahupun ke Sabah.
“Saya rasa kerosakan dan tanah runtuh di kawasan sekolah itu sudah agak lama.
“Kita tidak ingin kemalangan jiwa berlaku,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan tanah runtuh itu hari ini.
Seorang lagi penduduk Haris Salleh, menjelaskan pihak berwajib khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu memperbanyakan tanda amaran di kawasan tanah runtuh terutama pada waktu malam.
“Harapan saya supaya ia diberikan keutamaan dari segi keselamatan jadi saya berharap pihak berwajib ambil tindakan sewajarnya,”katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini terutama hujan lebat kerana tanah runtuh mungkin boleh berlaku di kawasan sama.
“Ketika musim hujan ini, keberangkalian berlaku tanah runtuh adalah tinggi,kita harap pemantauan di kawasan berkenaan dilakukan selalu,”tambahnya.
Oleh ADENG EDRUS