KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat enam nelayan yang hanyut di perairan Tanjung Sipang, Santubong sejak 17 Disember lalu kini hanya tertumpu kepada seorang mangsa, Chaloem Sonada, warga Thailand, yang masih hilang.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, memaklumkan bahawa mangsa kelima, Thy Ny, warga Kemboja, diselamatkan oleh sebuah kapal di Tanjung Po, Muara Tebas, semalam.
Menurutnya, Thy Ny dibawa ke Sibu oleh kru kapal tersebut sebelum dirujuk kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
“Mangsa disahkan sebagai salah seorang nelayan yang terlibat dalam insiden bot karam di perairan Tanjung Sipang. Dia kini berada di Hospital Sibu untuk rawatan sebelum dihantar ke Kuching bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, tiga mangsa lain iaitu Khlok Sem dari Kemboja, serta Adikah dan Irman dari Indonesia, diselamatkan oleh bot nelayan tempatan di kawasan 3.5 batu nautika dari Pulau Burong.
Mereka dibawa ke Jeti Kampung Goebilt, Kuching, sekitar jam 6 petang kelmarin, selepas tujuh hari hanyut.
Seorang lagi mangsa, Oeun Van, 37, turut ditemui selamat awal pagi semalam oleh nelayan tempatan di Sungai Serpan Laut, Asajaya, pada jam 3.30 pagi.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan untuk mengesan Chaloem Sonada, mangsa terakhir yang belum ditemukan.
Oleh SHAHRUL QAIZAT