PETRA JAYA: Sarawak perlu mengawal sumber gas asli untuk manfaat rakyat, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) selain projek berskala besar seperti pembangunan lapangan terbang antarabangsa baharu dan pelabuhan laut dalam di Kuching dijangka melonjakkan ekonomi negeri.
“Harapan semata-mata tidak mencukupi. Kita perlu bekerja keras untuk merealisasikan visi ini,” katanya, sambil menekankan perlunya Sarawak mengawal sumber gas asli untuk manfaat rakyat.
Dalam perutusan khas sempena Hari Krismas 2024, Abang Johari juga menyeru rakyat Sarawak agar memperkukuh perpaduan dan tekad untuk memajukan negeri ini dalam semangat Krismas yang membawa pengharapan baharu.
Beliau menekankan pentingnya mengekalkan keharmonian dalam masyarakat majmuk negeri ini sebagai asas kestabilan sosial dan kemajuan ekonomi.
“Sebagai rakyat Sarawak, kita amat bersyukur kerana boleh bersatu dan bekerjasama untuk memajukan negeri ini serta mempertahankan hak-hak kita di Bumi Kenyalang,” katanya.
Abang Johari turut menyoroti usaha besar kerajaan Sarawak untuk mencapai status ekonomi maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Beliau turut menyifatkan semangat Krismas sebagai simbol perpaduan dan pengharapan, menyeru rakyat untuk merenung dan memperbaharui tekad menghadapi cabaran masa depan.
“Marilah kita terus bersatu dalam menempuh segala cabaran dengan keberanian untuk menentukan masa depan kita sendiri,” ujarnya.
Akhir perutusan, beliau bersama isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani, mengucapkan Selamat Hari Krismas dan Tahun Baru 2025 kepada seluruh rakyat Sarawak.