LONDON: Penyerang Arsenal, Bukayo Saka terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan hamstring dalam kemenangan 5-1 ke atas Crystal Palace, semalam.
Perkembangan itu dikongsikan pengurus The Gunngers, Mikel Arteta yang memaklumkan kecederaan dialami pemain berusia 23 tahun itu agak serius.
“Keadaannya tidak kelihatan baik. Dia akan berehat untuk beberapa minggu,” katanya ketika sidang media.
Saka dilihat meninggalkan Stadium Selhurst Park dengan bertongkat selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Arsenal merekodkan kemenangan kedua dalam tempoh empat hari ke atas Palace.
“Dia merasakan sesuatu pada hamstring dan tidak dapat meneruskan permainan. Saya sangat risau dengan kecederaannya,” kata Arteta.
Bagaimanapun, pengurus kelahiran Sepanyol itu optimis Saka akan kembali beraksi sebelum musim berakhir.
“Saya yakin dia akan pulih dan kembali bermain sebelum musim tamat,” katanya.
Menurut Arteta, situasi dialami Saka adalah sebahagian daripada proses pembelajaran untuk pemain muda sepertinya.
“Ia adalah satu cabaran untuknya. Apa yang penting ialah bagaimana dia mengatasi situasi ini. Kami akan gunakan masa ini untuk membantu proses pemulihannya,” katanya.
Saka memainkan peranan penting dalam kempen Arsenal musim ini apabila menjaringkan lima gol dan 10 umpanan dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Dalam pada itu, Arteta turut memaklumkan pemain sayap, Raheem Sterling turut mengalami kecederaan lutut dan dijangka tidak akan beraksi untuk tempoh yang sama.
Arsenal yang ketika ini menghuni tangga ketiga liga, enam mata di belakang pendahulu Liverpool, akan menanti kunjungan Ipswich Town awal pagi Jumaat ini. – AFP