BELADIN: Dalam usaha membantu Kerajaan Persekutuan menyediakan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, SeDidik telah berusaha untuk membuka pusat Taska dan Tadika di kawasan yang memerlukan sama ada di kawasan bandar, pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata setiap anak layak mendapat peluang ini agar mereka mampu bersaing dan berjaya pada masa akan datang.
Sarawak akan terus meningkatkan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti dan menetapkan sasaran 100 peratus kanak-kanak mengikuti prasekolah pada 2030.
“Memberi peluang saksama, kita memastikan tiada anak yang tercicir, sekali gus memberi mereka asas yang kukuh untuk cemerlang di alam persekolahan kelak,” katanya semasa berucap merasmikan majlis Konvokesyen SeDidik Sarawak Zon Betong bertempat di Dewan Masyarakat Kampung Beladin, hari ini.
Seramai 92 graduan cilik dari 11 pusat SeDidik di Zon Betong telah menerima sijil tamat pengajian mereka pada majlis tersebut.
Razaili berkata peningkatan kualiti dalam pendidikan awal kanak-kanak adalah aspek penting yang ditekankan di SeDidik Sarawak, guru-guru dilatih untuk menggunakan pendekatan berkesan yang mampu memupuk potensi anak-anak dari usia awal.
“SeDidik Sarawak telah mencapai 94.73 peratus meliputi 162 orang yang memiliki kelayakan Ijazah dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, manakala 5.21 peratus meliputi lima orang masih lagi dalam pengajian,” katanya.
Razaili berkata di SeDidik telah mengamalkan pendidikan yang menerima semua kanak-kanak tanpa mengira perbezaan mereka, sama ada fizikal, kognitif atau sosioekonomi.
“Menerusi pendidikan inklusif, kita bukan sahaja membina kesediaan ke sekolah tetapi juga membentuk anak-anak yang akan menghargai kepelbagaian serta hidup dengan sifat saling menghormati.
Pada 2024, seramai 193 anak inklusif telah mendaftar dengan SeDidik Sarawak.
“Di SeDidik Sarawak juga, melalaui program Kids Bits & Bytes kita memperkenalkan literasi digital sesuai dengan tahap usia anak-anak, memberi mereka peluang untuk mengenali teknologi dan asas kemahiran digital yang berguna untuk masa hadapan.
“Sebanyak 64 pusat telah terlibat dengan Program Kids Bits & Bytes dengan jumlah seramai 713 orang anak-anak di SeDidik Sarawak telah mengikuti program ini. Bagi tujuan ini juga, sebanyak 427 unit peranti tablet telah diedarkan,” jelasnya.
Turut hadir, Pengurus Besar SeDidik, Ayub Dahari; Pengurus Kanan SeDidik Sektor Pelaksanaan Program, Awang Kederi Awang Mahdar; Penolong Pegawai Pendidikan PPD Betong, Lim Geok Hong dan tetamu lain.